Aci x blog ni di'delete'? Maksimum answer no : 20 orang baru x delete.

Sunday, January 30, 2011

Si Gadis Bercerita Tentang Cinta

Seorang gadis tinggal di sebuah pekan kecil. Zaman kehidupannya bukanlah di saat Islam sedang memuncak naik menjadi Daulah Islamiyah. Tetapi dia yakin, Daulah Islamiyah itu kelak pasti akan tercapai. Dia gemar membaca sirah tentang tokoh-tokoh sahabiah yang agung nama mereka; dulu, kini dan selamanya.

Zaman kehidupannya penuh dengan jahiliyyah yang menguasai setiap ruang lingkup atmosfera. Alhamdulillah, katanya. Alhamdulillah katanya, kerana Allah SWT masih mahu menyinari hidup dan dirinya dengan sedikit cahaya Islam. Dengan cahaya itu dia menilai baik dan buruk. Sudah tentu, ianya bukanlah mudah.

Rabiatul Adawiyah sumber inspirasinya. Wanita suci yang mengabdikan diri sehari-hari untuk beribadat kepada Allah. Seorang gadis yang sangat menjadikan Rabiatul Adawiyah sebagai idolanya, kadang-kadang dia tersilap langkah juga. Bukan senang mahu menjadi seperti Rabiatul Adawiyah, tambahan pula dengan kehidupan dunia kini. Tak mengapalah wahai Si Gadis, menjadi seorang yang perfect seperti Rabiatul Adawiyah, kamu mungkin tak mampu, paling tidak, kamu berusaha bersungguh-sungguh mencontohi beliau.

Seorang yang sangat menjaga maruah diri sehinggakan kehidupan dunia bukanlah yang diingini.
Gadis ini suka akan doa Rabiatul Adawiyah yang ini.
"Ya Allah, sekiranya aku menyembah-Mu kerana takut kepada neraka, bakarlah aku di dalam neraka. Sekiranya aku menyembah-Mu kerana mengharapkan syurga, campakkanlah aku dari syurga. Namun sekiranya aku menyembah-Mu semata-mata demi-Mu, janganlah Engkau enggan memperlihatkan keindahan wajah-Mu yang abadi kepadaku."
Dia hanyalah seorang gadis biasa. Suatu hari yang penuh berkat, muncul satu kunjungan untuk keluarga Si Gadis. Kunjungan luar biasa yang pastinya membincangkan isu masa depan Si Gadis dan Sang Teruna. 

Perbincangan yang pastinya menuju kepada sebuah pelayaran bahtera Baitul Muslim. Itu lah agendanya.
Dia terfikir, bagaimana mahu jadi seperti Rabiatul Adawiyah kalau begini keadaannya? Namun, menolak kepada sebuah perkahwinan bukanlah apa yang Si Gadis merasakan suatu yang betul.

Paling tidak, dia mahu menjadi seperti wanita yang menarik kuda Fatimah (anak Rasulullah SAW) untuk memasuki syurga. Wanita itulah yang pertama memasuki syurga! Sungguh hebat pengabdian wanita tersebut kepada keluarganya terutamanya kepada suami nya. Hebat-hebat kisah sahabiah yang ada! Si Gadis sungguh terinspirasi! Kerana sesungguhnya menjadi tujuan setiap manusia untuk menuju ke syurga-Nya yang abadi.
Kata-kata Zainab Al-Ghazali, "...Hidup ini terlalu singkat untuk menjadi orang biasa...". Perlu jadi yang luar biasa untuk mendapat tempat yang luar biasa di akhirat kelak!

Si Gadis pernah terbaca tentang satu hadis.
"Bila telah datang (untuk melamar) kepada kalian seorang lelaki yang kalian redhai agama dan perangainya (akhlaknya), maka nikahkanlah dia, bila kalian tidak melakukannya, nescaya akan terjadi fitnah di bumi dan kerosakan yang bermaharajalela." (Riwayat At Tirmizy, Sa'id bin Mansur, At Thabrani, Al Baihaqi dan dihasankan oleh Al Albani)"
Masakan perlu ditolak kerana kejayaan mendirikan sebuah Daulah Islamiyah juga berasaskan dengan tertubuhnya sebuah Baitul Muslim. Baitul Muslim tidak akan berjaya tanpa adanya 2 individu yang benar-benar ingin menerapkan Islam ke dalam diri mereka, sekaligus berusaha untuk mengembangbiakkan Islam dalam masyarakat. Menolak lamaran daripada insyaAllah, seorang yang soleh bukanlah apa yang Si Gadis mahukan.

Pertemuan 2 buah keluarga sedikit sebanyak telah melegakan Si Gadis. Kerana dia tidak mahu berkawan dengan lelaki yang sebarangan. Berkawan yang tidak tentu hala yang akhirnya tak tahu apa tujuannya.
Namun dia sedar pertemuan ini, kalaulah pun mendapat 'restu' untuk berkawan daripada ibu bapa kedua-dua belah pihak, bukanlah satu tiket untuk mereka berhubung tanpa ada tujuan yang membenarkan.

Perjalanan masih jauh. Pesan seorang pakcik, perlu sangat berhati-hati dan berdoa.
Tiada apa yang Si Gadis sepertinya dapat berharap, hanya agar Allah SWT memudahkan setiap cabang perjalanan hidupnya.

Apa-apa pun, saya suka mendengar Si Gadis bercerita. Katanya, dia bercerita untuk berkongsi agar ada bahagian daripada ceritanya boleh dijadikan teladan.

Thursday, January 27, 2011

Wednesday, January 5, 2011

Belajar Ilmu Ikhlas

"Mari ku ajarkan mu tentang ikhlas," kata seorang guru kepada muridnya.
"Nanti saya ambilkan buku dan pena untuk menulisnya."
"Tak payah, bawa sahaja karung guni."
"Karung guni?" soal anak muridnya, seperti tidak percaya.
"Mari kita ke pasar!"Dalam perjalanan ke pasar mereka berdua melalui jalan yang berbatu-batu.
"Kutip batu-batu yang besar dan masukkan ke dalam guni yang kau bawa itu," kata guru itu memberi arahan.
Tanpa soal, anak muridnya memasukkan batu-batu besar yang mereka temui sepanjang jalan.
"Cukup?"
"Belum, isi sampai penuh karung guni itu. Lebih banyak lebih baik."
Sampai di pasar, mereka berdua tidak membeli apa-apa pun. Gurunya hanya berlegar-legar, melihat-lihat dan kemudiannya mula beredar ke luar.
"Tok guru, kita tidak beli apa-apa kah?"
"Tidak. Bukankah karung guni mu telah penuh?"
"Ya, ya..." kata murid itu sambil memikul guni yang berat itu kelelahan.
"Banyak beli barang," tegur seorang kenalan apabila melihat anak murid itu memikul guni yang berisi penuh dengan batu-batu.
"Wah, tentu mereka berdua ini orang kaya. Banyak sungguh barang yang mereka beli," bisik orang lalu-lalang apabila melihat guru dan anak murid tersebut.
"Agaknya, mereka hendak buat kenduri dengan barang-barang yang banyak itu," kata orang yang lain.
Sampai sahaja di tempat tinggal mereka, murid tadi meletakkan guni yang berisi batu-batu tadi.
"Oh, letih sungguh... apa yang kita nak buat dengan batu-batu ni Tok?"
"Tak buat apa-apa."
"Eh, kalau begitu letih sahajalah saya," balas anak murid.
"Letih memang letih, tapi kamu dah belajar tentang ikhlas..."
"Bagaimana?" tanya anak murid itu kehairanan.
"Kamu dah belajar apa akibatnya tidak ikhlas dalam beramal."
"Dengan memikul batu-batu ini?"
"Ya. Batu-batu itu umpama amalan yang riyak. Tidak ikhlas. Orang memujinya seperti orang-orang di pasar tadi memuji banyaknya barang yang kamu beli. Tapi, kamu sendiri tahu itu bukan barang makanan atau keperluan tetapi hanya batu-batu..."
"Amal yang tidak ikhlas umpama batu-batu ini?"
"Ya, hanya beratnya sahaja yang terpaksa ditanggung. Dipuji orang, tetapi tidak ada nilainya di sisi Allah. Yang kamu dapat, hanya penat..."
"Ya, sekarang saya sudah faham apa akibat jika beramal tetapi tidak ikhlas!" ujar murid itu. Sekarang dia sudah faham apa akibatnya RIYAK dalam beramal.
Pengajaran:
Ramai manusia tertipu dalam beramal kerana mengharapkan pujian orang. Padahal kata pujian daripada orang-orang itu tidak akan memberi manfaat pun kepadanya pada hari akhirat. Malah, mengharap pujian daripada manusia hanya akan menyebabkan diri terseksa kerana terpaksa hidup dalam keadaan yang bermuka-muka. Rugi benar orang yang tidak ikhlas, terseksa di dunia, terseksa di akhirat.



aimi

Greeners. :)