Aci x blog ni di'delete'? Maksimum answer no : 20 orang baru x delete.

Monday, September 13, 2010

Kau Penggerak Ummah



Laju jari-jemari Faiz menari di papan kekunci laptopnya. Assignment Ulum Al-Quran yang baru diberi oleh Ustaz Zamri tadi telah dimulakannya. "Oi Faiz! Kau buat apa tu?” Kedengaran suara Hamdi, merangkap teman sebilik dan juga sekelasnya melaung dari muka pintu.

Faiz menoleh sekilas.

Assignment” Jawabnya ringkas.

"Assignment Ustaz Zamri tu ke?” Hamdi melangkah masuk, meletakkan dirinya di sisi Faiz.  
"Ha ah” Terbeliak mata Hamdi melihat Faiz telah siap menaip satu muka surat penuh.

"Fulamak! Skema la kau. Awal betul buat, kan kena hantar minggu depan. Enjoy la beb! Bahu Faiz ditepuk kasar.

Faiz menghela nafas berat. Hamdi memang terkenal dengan sikap sambil lewanya.
"Aku banyak kerja lain lagi nak kena buat. Lagi pun, program-program dakwah dan tarbiyyah banyak minggu ni.Aku tak nak sebab program-program tu amanah aku sebagai mahasiswa terabai. Nanti jadi fitnah pada Islam” Faiz cuba menjawab setenang mungkin.
Hamdi tergelak. Tubuhnya dihempas ke atas katil.

"Apa la kau ni Faiz,asal aku cakap je kau mula lah nak berceramah. Kau ni asyik program sana program sini, macam tak ada life! Ha, tadi Ayu kirim salam kat kau. Kesian la budak tu, kau buat tak layan je. Kau jangan jual mahal sangat Faiz.”


Faiz tergamam. Ayu. Nama itu tidak asing lagi buat dirinya, semenjak dirinya di semester satu lagi Ayu telah cuba mendekati. Bukan Ayu sahaja malahan beberapa wanita lain lagi. Namun, Ayu yang paling ketara.

Faiz menghela nafas berat. Di manakah dia pewaris Ummahatul Mukminin?
"Woi! Kau berangan apa lagi tu? Ha lagi satu Ayu pesan, balas surat ni.”
Hamdi bangun dan meletakkan sekeping kertas di sebelah laptop Acer Aspire 4530 lantas berlalu ke bilik air.

Faiz diam merenung kertas putih itu. Hatinya masih berbelah bahagi.

"Perlu ke aku baca surat ni?"


Perlahan-lahan tangannya mencapai kertas putih itu dan dibuka lipatannya. Faiz menelan air liur. Tulisan tangan yang kemas di atas kertas itu dibaca.


Assalamualaikum.. Maaf andai surat ini mengganggu ketenangan Iz. Dah lama Ayu perhatikan Iz,makin lama hati Ayu makin terpaut pada Iz. Iz je yang jual mahal.
Harap Iz balas surat Ayu ni. Ayu tunggu…

Pecah kaca,
Pecah gelas,
Sudah baca,
Harap balas.

"Astarghfirullah.” Spontan, istighfar itu meluncur laju daripada mulut Faiz. Dadanya senak. Lantas kertas itu digumpal-gumpal menjadi sebentuk bola dan dicampakkannya ke dalam tong sampah.
Faiz bungkam.

"Ya Allah, apa lagi yang perlu aku lakukan? Bukankah Hawa itu tercipta daripada tulang rusuk lelaki yang bengkok. Andai kekerasan yang digunakan, maka akan patahlah tulang itu."


Faiz baring di atas katilnya yang berwarna biru. Kedua-dua tangannya disilangkan di atas dahi.Panorama biliknya yang sederhana besar pada petang itu seolah-olah membungkamkan lagi hatinya.
 "Jadi, aku harus membimbing dia?" 
"Jangan! Nanti lain jadinya." 
"Jadi apa tindakan terbaik? Carikan dia seorang pembimbing daripada kalangan muslimah!"
 "Tapi siapa pula?"

"Arghh!” Spontan, Faiz menjerit kecil. Tersedar akan keterlanjurannya, Faiz beristighfar. Ditukar pula posisi daripada baring ke duduk.

Hatinya yang berkecamuk diulit dengan zikrullah. Dia bingkas bangun menuju ke bilik air untuk mengambil wudhu’.

"Aku tidak perlu mengikut nafsu syaitan!"
*** 
"Faiz!” Laungan suara daripada belakang membuatkan pergerakan kaki Faiz yang baru keluar dari kelas terhenti. Faiz menoleh.

MasyaAllah, akhi! Lama tak nampak?” Faiz mengukir senyuman apabila melihat sekujur tubuh yang Uwais yang tegap. Senior yang dikenalinya semenjak sesi taa’ruf di kolejnya, seorang yang banyak benar membantunya daripada sudut rohani dan jasmani.

"Ha, tu lah enta, sibuk mengalahkan Perdana Menteri sampai tak sempat nak menjenguk ana di bilik. Kat masjid pun boleh tak perasan ana.”


Uwais menggeleng-geleng kepala.Tangan dihulur dan Faiz menyambut.

"Allah… ‘afwan, ana bukan sengaja tak perasan tapi enta tu kecik sangat.”
Uwais tergelak. 

"Ha, dah alang-alang jumpa ni, marilah minum sama-sama. Enta ada kelas lagi ke lepas ni?”

"Alhamdulillah, tak ada dah. Bolehlah nak duduk berbual dengan enta. Lama betul tak berbual.” 


"Jomlah”
***
"Enta apa khabar? Dah makin cengkung ana tengok. Ada masalah ke?” Uwais memulakan pertanyaan. Teh O ais yang berada di depan mata di hirup sedikit.

Faiz melepaskan satu keluhan berat.

"Ana nak cakap pun, malu..”


"Sejak bila pula enta pandai nak malu-malu dengan ana ni?” 
 

"Macam ni..”


Faiz menarik nafas panjang. Uwais menanti tenang.

"Ana sering diganggu.”


"Dengan makhluk halus?” Uwais bertanya seraya menghirup Teh O ais di hadapan matanya.

"Bukan. Dengan muslimah!”


Hampir-hampir sahaja air Teh O ais tersembur daripada mulut Uwais. Uwais tersedak-sedak akibat air yang tidak ditelan secara sempurna.

"Ana dah agak, enta mesti gelakkan ana” Faiz menunduk malu.


"Bukan, enta jangan salah faham, ana terkejut aje. Wah, bertuahlah enta ye.”Uwais tersengih.

Faiz mencebik.

"Kalau enta rasa apa yang ana rasa, baru enta tau bertuah tak bertuahnya ana ni”Faiz membalas separuh hati.

Uwais tergelak.

"Enta dah berterus terang?”


Angguk.

"Banyak kali. Tapi seolah-olah tak bermakna langsung penerangan ana.”
"Sabarlah Faiz, Allah sedang berbicara dengan enta. Dia tahu enta mampu hadapi ujian ni, sebab tu Dia tak turunkan kat ana. Apa-apa pun, enta berserahlah kepada Allah. Hidup di dunia ni memang banyak dugaannya. Berdoalah agar enta terhindar daripada fitnah dunia.Teringat ana pada sabda Rasululullah s.a.w bahawa wanita itu adalah aurat, maka apabila dia keluar syaitan akan menghiasinya.Jadi andai enta dah berusaha, maka bertawakallah. Kalau enta perlu pertolongan, cari sahaja ana.”


Faiz tersengih.

Ha, yang enta tersengih-sengih ni kenapa?”


"Muka enta waktu serius kelakar juga ya.”


"Faiz!”
***
Eh, tu macam Hamdi.

Berkerut-kerut kening Faiz untuk memastikan insan yang hanya jauh beberapa meter di hadapannya itu benar-benar sahabatnya.

Sah!

Faiz beristighfar di dalam hati. Kakinya mula dihayun menuju ke tempat di mana Hamdi sedang rancak berbual dengan seorang muslimah. Sakit benar hatinya melihat Hamdi bergelak-ketawa dengan yang bukan ajnabi, bukan kerana cemburu tetapi kerana rasa kasih yang teramat sangat pada Pencipta Sekalian Manusia. Rasa cinta pada Allah yang mengurniakan cinta.

Hanya beberapa meter sahaja lagi untuk sampai kepada Hamdi, Faiz mematikan langkah.Tiba-tiba dia teringat pesanan Ustaz Hamzah pada seminar ‘Mencari Seorang Da’ie’ minggu lepas.

Manusia mana yang suka didekati secara kasar? Begitu juga mad’u kita. Kadang-kadang kita fikir menegur mad’u di khalayak ramai merupakan sesuatu yang hebat. Setelah menghentam mad’u dengan segala perkataan yang terbuku di dalam hati, kita akan melangkah pergi dengan gah tanpa kita sedari ada air muka yang telah kita kotori, ada hati yang telah kita lukai. Itu salah. Pertama sekali dalam berdakwah antum haruslah mendekati mad’u dan selepas itu peganglah hatinya dengan berhikmah. Jangan buat mereka berdendam pada kita.
Faiz melihat sekeliling. Ramai. Kakinya dihayun kembali menuju ke asrama.
***
'Kreek'

Bunyi pintu bilik yang terbuka membuat Faiz berhenti daripada menyusun buku-bukunya pada rak buku. Berdebar hati Faiz melihat sekujur tubuh Hamdi masuk dengan muka kepenatan.
"Baru balik Di?” Faiz bertanya ramah.
"Ha ah. Discussion tadi.”


Hamdi mencampakkan begnya di atas katil dan duduk di kerusi yang berada berdekatan meja belajar Faiz. Matanya meliar.

"Kau buat apa ni Iz?Bersepah semua”. 

"Aku nak kemas sikit buku-buku ni. Dah nak bersawang rak buku aku ni”



Senyum.

"Erm, Di aku nak cakap sikit boleh?”Faiz berbelah bahagi.


"Sejak bila kalau nak bercakap kena minta izin daripada aku?” Hamdi berseloroh.

Faiz bangun daripada posisinya yang sedang bersila di atas lantai dan mengambil kerusi lantas diletakkan di hadapan Hamdi lalu dilabuhkan punggungnya dengan selesa.
"Di..”


"Apa dia? Cakaplah.”


Faiz memandang mata Hamdi. Kelakuan mad’u ketika dia sedang bercakap harus diambil kira kerana segala kelakuannya merupakan satu komunikasi bukan verbal yang harus difahami oleh seorang da’ie.

Faiz menarik nafas panjang.

"Macam ni Di, aku nak tanyalah…” Faiz mencapai buku yang baru sahaja di bacanya. Satu bab di buka dan tertera tajuk batas-batas pergaulan dalam Islam.

"Ni ha, aku tak berapa faham ayat dia. Putar-belit. Antara lelaki dan perempuan apa batas-batas dia?” Jari telunjuk Faiz menunjuk ke arah tajuk yang tertera.

"Bak sini buku tu”


Faiz menghulur.

La.. kacang je, apa yang kau tak faham. Lelaki kena tundukkan pandangan apabila berhadapan dengan wanita yang bukan muhrim, begitu juga dengan wanita. Kedua-duanya harus menundukkan pandangan untuk mengelak fitnah dan penyakit di dalam hati.” Lancar Hamdi menerangkan.

"Jadi kalau ada discussion?”


"Bincang yang penting-pentinglah, tapi janganlah berdua sahaja nanti syaitan pula jadi yang ketiga. Yang perempuan tak boleh melunak-lunakkan suara, lelaki kena pandailah kawal diri.” 

"Kalau berbual berdua di khalayak ramai?"


Hamdi mendengus.

"Tak boleh juga. Lagi bahaya sebab nanti bakal menimbulkan fitnah. Ala, pasangan kekasih kalau di khalayak ramai pun tak malu nak buat maksiat! Kalau lelaki perempuan dalam satu kumpulan nak bergurau senda pun kena juga berpada, jangan sampai menyumbang kepada pergaulan bebas.”


"Di..”


Faiz memanggil perlahan.

"Apa lagi kau nak tanya?”


"Tadi, aku ternampak kau bergelak-ketawa berdua dengan seorang muslimah” Faiz menembak tepat pada sasaran.

Hamdi diam, baru tersedar jawapannya tadi itu bakal memakan dirinya sendiri. Dalam tidak sedar, mindanya memikirkan kebenaran kata-katanya sendiri!
 ***
Sudah tersebar fitnah itu. Fitnah yang mengatakan bahawa Faiz sering keluar dating bersama Ayu. Fitnah yang disertakan dengan gambar-gambar super impose Ayu dan Faiz benar-benar menggigit sanubari Faiz.

Faiz bungkam. Mindanya masih memikirkan tentang kejadian sebentar tadi.

Eh kenapa semua orang tengok aku ni?


Faiz bingung memikirkan mengapa setiap langkahan kakinya di sertai dengan mata-mata yang tajam melihat.

"Eleh, nampak je alim. Pura-puralah tu”


Telinga Faiz menangkap suara seseorang namun kepalanya tidak berani menoleh.

"MasyaAllah, Faiz” Bahunya ditepuk seseorang. Faiz menoleh, dan terasa ingin dipeluk sahaja batang tubuh Uwais di hadapannya.

"Uwais, tolong ana, ana tak tahu kenapa hari ni semua orang macam nak telan ana”
"Ikut ana”


Faiz mengekori langkah Uwais yang akhirnya tiba di sebuah kelas kosong. Uwais membuka beg laptopnya dan mencari rangkaian internet. Emailnya dibuka.

"Faiz” Uwais memanggil.

"Ya”


"Mari sini sekejap.” 

Faiz melangkahkan kakinya merapati Uwais. Uwais menghalang Faiz daripada melihat ke arah laptopnya.

"Nanti. Ana harap enta bersabar banyak-banyak. Ini ujian Allah”


"Kenapa ni?” Faiz gelisah.

"Ni...” Uwais menunjukkan emailnya.

Faiz hampir-hampir rebah melihat semua gambarnya bersama Ayu. Jijik.
***
Hamdi mundar-mandir di dalam bilik. Sesekali matanya menjeling tubuh Faiz yang asyik berselubung di atas katil. Sudah dua minggu Faiz begitu, rutin hidupnya yang selalu sibuk dengan urusan dakwah dan tarbiyah kini bertukar 360 darjah!

Faiz hanya pergi ke kelas dan kemudian balik ke bilik. Wajahnya pula semakin cengkung dek kerana kurang makan.

Hamdi mendengus. Hidupnya mula terasa bosan tanpa ceramah percuma dan teguran daripada
Faiz. Matanya menjeling lagi tubuh Faiz yang semakin tidak terurus.


Ni tak boleh jadi!


Pantas kakinya dihayun dan berdiri di sebelah katil Faiz.

"Faiz” Hamdi memanggil. Tegas.

Diam.

"Faiz!" Suaranya ditinggikan sedikit.

Diam.

Hamdi berang. Pantas tangannya memegang bahu Faiz dan mendudukkannya.

"Kau nak apa ni Di....” Faiz bersuara lesu.

"Kau tanya aku nak apa? Kau ni dah kenapa Faiz? Mana Faiz yang dulu?” Hamdi membetulkan posisinya agar duduk berhadapan dengan Faiz. Faiz harus disedarkan!

"Kau tak nampak ke, satu universiti dah tak suka kat aku. Nama aku dah busuk Di, aku malu.Faiz mula mengalirkan air mata. Wajahnya yang mula cengkung ditambah pula dengan deraian air mata dan rambut yang agak kusut benar-benar menyentuh sanubari Hamdi.


"Faiz, kau lupa ke maksud nama kau apa? Pemenang. Seorang pemenang tak boleh cepat mengalah macam ni. Seorang pemenang akan bertungkus-lumus mengalahkan lawan. Kau nak biar nama kau busuk sampai bila? Kalau kau sendiri tak bangkit, siapa lagi nak perbaiki keadaan?Bukankah Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum sehingga mereka mengubah nasibnya sendiri?”
"Tapi aku tak tahu nak buat apa..”


"Tu alasan,Faiz. Allah dah janji, setiap masalah ada jalan penyelasaiannya. Kau lagi arif daripada aku. Bangkitlah Faiz, kau tak boleh terus macam ni, kau penggerak ummah! Kalau kau lemah, apa jadi kat ummah?" Faiz, kalau kau tak kesian kat diri kau sendiri, kesianlah kat ummah yang dah semakin parah. Aku rindu pada Faiz yang tidak pernah tinggal untuk solat berjemaah di masjid hatta sakit sekali pun!”

Faiz tidak menjawab. Terhenggut-henggut badannya menahan tangis yang semakin menderas. Hamdi menepuk-nepuk bahu Faiz. Matanya turut digenangi air, memikirkan beban yang dipikul Faiz. Berat mata memandang berat lagi bahu yang memikulnya.

"Tinggalkan aku sendiri, Di...”


Hamdi akur, kakinya mula melangkah keluar bilik. Air matanya tumpah jua, terbayang kembali bagaimana sikapnya terhadap wanita, terasa hina kerana biar pun dirinya yang terlibat dalam pergaulan bebas, Allah memilih Faiz untuk ditunjukkan kasih sayangNya.Hidayah Allah seolah-olah telah meresap dalam hatinya.

Faiz, semoga kau tabah dan sabar. Aku rindu Faiz yang dulu... Aku janji lepas ni aku akan teman kau menjadi penggerak ummah!
***
Hamdi membuka pintu bilik perlahan-lahan, bimbang akan mengganggu Faiz dan sebaik sahaja pintu bilik terbuka, kornea mata Hamdi menangkap imej Faiz yang sedang khusyuk berdoa sambil menangis. Hamdi membiarkan. Tubuhnya dicampak ke atas katil. Matanya dipejamkan.

"Di..”


Oh Allah, rindunya aku pada suara itu yang sentiasa menasihatiku. 
"Di...”


Ya Allah, ubatilah rinduku ini.


"Di!”


Hamdi membuka matanya. Terpinga-pinga dia sebentar tatkala melihat batang tubuh Faiz berdiri tegak di sebelah katilnya. Matanya digosok-gosok seolah-olah tidak percaya dengan apa yang dilihatnya.

Faiz tersenyum.

"Kenapa Di?” Faiz kehairanan melihat Hamdi yang tidak keruan.

"Er, takde, aku ingat aku berangan tadi dengar suara kau”


Faiz tergelak kecil dan melangkah ke lockernya. Sehelai jubah baru berwarna hijau lembut diambil dan disarung ke tubuhnya. Rambutnya disisir rapi.

"Kau nak ke mana ni?” Hamdi bertanya cemas.

"Aku nak jumpa Uwais.”


"Buat apa?”


"Di, aku pemenang!” Faiz menjawab ringkas dan berlalu meninggalkan Hamdi yang terpinga-pinga.
***
"Em, lamanya.” Faiz mengeluh, sesekali jam ditangannya dikerling. Raut kegelisahan jelas terpamer di wajahnya.

"Sabarlah Faiz, berzikir dahulu, selepas ni kita tidak tahu apa yang akan berlaku.”Uwais di sebelah menasihati.

Pertemuan antara Ayu dan Faiz di wakaf yang terletak di Taman Ilmu yang sengaja diatur oleh Uwais untuk menyelesaikan segala-galanya jelas mengundang kegelisahan buat diri Faiz. Uwais tenang. Jam casio di tangan di kerling sekilas.

"Hm, janji pukul 2 ni dah 2.30. Dia datang ke tak ni” Faiz mengeluh lagi.

"Faiz, duduklah, apa-apa pun ingatlah kita nak selesaikan masalah dengan cara berhikmah.”


Faiz akur dan mengambil tempat di sebelah Uwais. Hatinya mengalunkan zikir.
"Ha tu dia” Uwais menyenggol siku Faiz.

Faiz gelisah.

"Assalamualaikum” Ayu memulakan kalam, wajahnya kelihatan berseri.
"Waalaikumsalam” Serentak Uwais dan Faiz menjawab.

"Ada apa panggil Ayu ke sini?” Ayu bertanya tanpa menampakkan walau sedikit pun rasa bersalah.

"Beginilah ukhti, ana tak pandai nak berkias-kias, ana cuma nak penjelasan daripada enti tentang penyebaran gambar palsu ana dan enti” Faiz bersuara. Tegas.

Wajah Ayu berubah cemas.

"Mana Ayu tahu apa-apa”


"Ukhti, Allah lebih tahu apa yang enti lakukan. Takutlah pada Allah.”
Mata Ayu mula digenangi air mata. Faiz menundukkan pandangan, tidak tegar dia melihat air mata wanita yang mampu melumpuhkan iman lelaki.

 "Ayu... Ayu terlalu sayangkan Faiz!” Akhirnya Ayu bersuara,jujur..

"Ana hargai rasa sayang pemberian Allah tu, rasa sayang yang suci tidak harus enti kotori dengan fitnah mainan syaitan. Rasa sayang yang suci tidak harus membutakan mata enti daripada melihat kebenaran dan kebatilan dan rasa sayang yang suci tidak harus membuatkan enti tunduk pada tuntutan nafsu.Bukan begini caranya enti menyalurkan rasa sayang tu, yang mana tindakan enti telah membusukkan nama ana...”


Ayu menangis.

"Maafkan Ayu, Ayu tak sangka jadi begini...”


"Enti, berginilah. Ana tidak mahu panjang-panjangkan kes ni, Ana cuma nak enti bersihkan kembali nama ana. Ana berjuang di jalan Allah,susah untuk ana berhadapan dengan mad’u yang mencerca ana atas maksiat yang tidak pernah ana lakukan. Mad’u ana yang dahulu pun sudah semakin jauh daripada ana dan Islam. Ana harap enti fikir-fikirkanlah.Jika enti tak mahu, ana terpaksa bawa kes ni kepada pihak atasan. Perbualan kita telah pun sahabat ana rekod melalui handphonenya.” 
Ayu memandang Uwais. Uwais mengangguk.

"Jadilah mawar berduri yang berkembang mekar mengharungi arus dunia yang semakin kejam.Katakanlah yang benar walau pahit.”


Faiz mematikan ayatnya dan melangkah pergi bersama Uwais.
***
"Faiz! Tahniah, Ayu dah buat pengakuan. Memo-memo dah ditampal menyatakan kemaafan pada kau”


Hamdi tersenyum girang menyatakan berita itu kepada Faiz yang sedang duduk berteleku di meja belajarnya. Bagaikan masih kelihatan memo yang dibacanya di papan-papan notis menyatakan maaf pada Faiz.

Faiz tersenyum.

"Alhamdulillah, lapang dada ana... Syukur ya Allah.”


Sebak dada Faiz memikirkan pertolongan daripada Allah yang tidak pernah berhenti.

"Di, syukran....” Faiz memeluk erat tubuh Hamdi, menyatakan terima kasih yang tidak terhingga kerana telah menyedarkannya.

Hamdi membalas pelukan itu.

"Uhibbuka fillah” Faiz bersuara sebak.

"Uhibbuka fillah aidhon” Faiz melepaskan pelukan, dilihatnya mata Hamdi dipenuhi air.

"Eh, Di kau menangis?”


"Mana ada, mata aku masuk habuk.” Hamdi mengesat matanya yang memerah.

"Eleh sudahlah. Ada hikmahnya Allah turunkan ujian ni, dapat aku tengok air mata kau.” Faiz masih mahu mengusik.

Sejenak, mindanya teringatkan Uwais. Lantas, handphonenya dicapai dan dia mula menaip. 
Salam ya akhi, syukran atas segalanya. Hanya Allah yang dapat membalas jasamu. 


"Faiz” Hamdi memanggil, perlahan.

"Ya”


"Aku.. Aku nak jadi penggerak ummah juga”


Faiz terpana.

"Boleh sahabatku...”


Sekali lagi, Faiz memeluk erat tubuh Hamdi, seerat janji yang dipatri, seutuh ikatan yang dibina.


Tuesday, September 7, 2010

H.A.T.I

assalamualaikum ~
annyeong ! (:gif Pictures, Images and Photos
jadi insya Allah hari ni ana ada lagi sedikit selingan (:
mudahmudahan tips dibawah berguna buat kita semua. Insya Allah \(^^)/


seperti yang kita tahu bahawa segala aspek kehidupan bermula dari HATI..tapi,bagaimana untuk jaga hati kita ? bagaimana untuk merawat hati kita ? 


oleh : Dato' Dr Fadzilah Kamsah ^^


1. Dirikan solat dan banyakkan berdo'a – Ini adalah salah satu kaedah yang sungguh berkesan. Semasa berdo'a turut katakan "Ya,Allah jadikan hatiku bersih."beating heart gif Pictures, Images and Photos

2. Selawat keatas Nabi Muhammad s.a.w paling minima 100 x sebelum tidur – Ini merupakan satu pelaburan yang mudah dan murah. Disamping dosa-dosa diampunkan, otak tenang, murah rezeki, orang sayangkan kita dan mencetuskan semua perkara kebaikan.

3. Solat taubat – Selain daripada memohon keampunan, dapat mencuci hati dan menenangkan minda.

4. Membaca Al-Quran – Selain dapat mencuci hati juga menenangkan jiwa,penyembuh, penenang, terapi. Sekurang-kurangnya bacalah "Qulhu-allah" (Surah Ikhlas) sebanyak 3X.

5. Berma'af-ma' afan sesama kawan setiap hari – Semasa meminta maaf perlu sebutkan.
sorry Pictures, Images and Photos
6. Bisikan kepada diri perkara yang positif – Jangan sesekali mengkritik, kutuk diri sendiri, merendah-rendahkan kebolehan diri sendiri. katakanlah "Aku sebenarnya.. ….(perkara yang elok-elok belaka).

7. Program minda/cuci minda – Paling baik pada waktu malam sebelum tidur, senyum, pejam mata, katakan di dalam hati "Ya, Allah cuci otak aku, cuci hatiku, esok aku nak jadi baik, berjaya, ceria, bersemangat, aktif, positif". Menurut kajian psikologi, apa yang disebut sebelum tidur dapat dirakamkan sepanjang tidur sehingga keesokan harinya – CUBALAH!!   
happy Pictures, Images and Photos

8. Berpuasa – Sekiranya dalam berpuasa terhindar dari melakukan perkara-perkara kejahatan.

9. Cuba ingat tentang mati (Sekiranya hendak melakukan sesuatu kejahatan, tidak sampai hati kerana bimbang akan mati bila-bila masa).

10. Kekalkan wuduk.

11. Bersedekah.

12. Belanja orang makan.

13. Jaga makanan – jangan makan makanan yang syubhah.gif Pictures, Images and Photosgif Pictures, Images and Photos

14. Berkawan dengan ulama.

15. Berkawan dengan orang miskin (menginsafi) .

16. Menutup aurat mengikut Islam yang sebenar terutama wanita, bersegera dalam solat dan sebagainya.

17. Pesan pada orang, jadi baik. 

18. Menjaga pacaindera (mata, telinga, mulut…dan sebagainya), jangan dengar orang mengumpat.Rice Ball 3 Pictures, Images and Photos







jom kita mula jaga hati kita ~!! gif Pictures, Images and PhotosGood Luck Girl Skydive Skydiving Clouds Way to Go smiley smilie smileys smilies icon icons emoticon emoticons animated animation animations gif gifs Pictures, Images and Photos


wallahualam (:


ainul13GLOOMY BOX Pictures, Images and Photos

Sunday, September 5, 2010

generasi epal~~

hai seme org XDDDD

hr ni nok ckp pasal epal T_T



ni logo 2a2 sbb ienye epal dan selaras dgn blog ini dan ie HIJAU ~tentunya ;p

selain itu epal juge sgt berkait rapat dgn emosi..
contohnye apabile seseorg itu mogok..
beliau boleh mngenakan kostum epal.. (???)
*fakta paling dop ssabbik stakat ni

epal juge merupekan duta buah buahan bagi filem TWILIGHT
*tau ohla bkpe fifi wat blog ni epal XDD

di samping itu..epal juga boleh digunakan untuk menahan buku (??)

akher kate..


EPAL MENJAUHKN DIRI KITA DRPD DOKTOR~
*walaupun doktor tu sdiri wahi makan epal T_T

OH!..sdikit hadiah menjelang raye!

epal

~wallahua`lam...

Something To Share...

Assalamualaikum WBT...

Alhamdulillah,akhirnya hari ni berpeluang jugak bertinta seketika di sini.InsyaAllah hari ni nak kongsikan satu cerita yang secara inofficialnyer diciplak daripada laman web ILUVISLAM.Semoga kita sama-sama dapat mengambil pengajaran daripadanya.Enjoy!!! =)


Secekal Al-Fateh Segagah Al-Ayyubi



Bayu Bosphorus1 bertiup manja. Kadang-kadang nakal menampar-nampar lembut wajah Fateh. Bau masin laut menerawang di ruang udara. Berebut-rebut menerobos indera hidunya. Indera lihatnya tidak puas-puas merakam keindahan pagi di tebing Bosphorus walaupun acapkali dia ke mari. Bogaziçi, begitulah gelaran untuk selat ini dalam bahasa Turki. 


Dari jauh sayup-sayup kelihatan pelabuhan Golden Horn. Di pelabuhan itulah suatu ketika dulu 70 buah kapal milik pasukan tentera Sultan Muhammad Al-Fateh mendarat. Gempar Maharaja Konstantine ketika itu. Apa tidaknya, kapal-kapal itu dipindahkan menggunakan jalan darat. Kapal-kapal itu diluncurkan melalui Semenanjung Fera sejauh tiga batu sebelum sampai ke Pelabuhan Golden Horn. Sungguh, Sultan Muhammad Al-Fateh berjaya menukar daratan menjadi lautan, melayarkan kapalnya di puncak gunung dan bukan di ombak lautan. 


Dalam-dalam Fateh manarik nafas. Matanya kejap dipejam. Seolah-olah mencari semangat Sultan Muhammad Al-Fateh yang masih tersisa di selat itu.


“Setiap kita harus menjadi secekal Al-Fateh dan segagah Al-Ayyubi andai kita mahu menawan kembali Baitul Maqdis. Palestin hari ini ialah Konstantinopel2. Setiap umat Islam seharusnya bercita-cita untuk menjadi Al-Fateh dan paling tidak pun menjadi seperti tentera-tenteranya. Bukankah Sultan Muhammad Al-Fateh itu sebaik-baik raja yang memimpin sebaik-baik tentera?”

Kata-kata Safiyya bersipongang
3 di segenap jihat4 fikiran Fateh. Atma5nya dijentik sebak. 
sultan

“Bagaimana tanganmu, Safiyya? Masih sakit lagi?” sapa Fateh. Dalam kesibukan merawat pesakit-pesakit di musytasyfa6, Fateh sempat lagi mencuri ruang menjenguk Safiyya. Keadaan dalam hospital semakin sesak. Setiap inci tempat ada sahaja batang tubuh yang terbaring memerlukan bantuan perubatan. Entah sampai bila bangunan Musytasyfa al-Syifa ini boleh terus berdiri untuk menampung jumlah pesakit yang tidak menunjukkan tanda-tanda akan surut. 

Safiyya sekadar menguntum senyum pada pemuda berkumis nipis berjanggut pandak7 itu. Fateh memeriksa keadaan tangan Safiyya.


“Andai aku hilang tangan kanan, aku masih punya tangan kiri untuk terus berjuang,”  mata Safiyya bersinar galak. Tiada tergambar garis-garis kecewa pada air mukanya. Fateh terkesima. Teringat dia kisah Jaafar bin Abi Thalib dalam ghazwah8 Mu’tah. Walaupun kedua-dua tangannya dicantas musuh, panji yang diamanahkan oleh Rasululah tidak dibenarkan mencium tanah. Dipeluk panji dengan kedua-dua lengannya. Rasa kagum pada sahabat nabi yang bergelar At-Tayyar9 itu kini turut singgah pada Safiyya.

Abi ada datang menziarahiku?” suara gadis itu sedikit kendur. Safiyya dalam keadaan tidak sedarkan diri ketika dia dihantar ke hospital tempoh hari.
“Err...” Fateh gugup. Dia hilang bicara. Sebetulnya Basil Mustapha tidak pernah kembali sejak dia menghantar anak gadisnya.

“Apa kamu bimbang aku tidak tega mendengar berita kesyahidannya?” Safiyya menduga.Khali10.
“Bahkan itu jawapan yang paling aku nanti,” sejenak pandangan mereka bersatu.

“Aku tidak punya jawapan untuk soalanmu itu. Yang pasti, abimu tidak pernah kembali sejak dia menghantar kamu ke sini,” Fateh gagahi diri untuk berterus-terang. Lebih dua puluh hari Safiyya menanggung derita akibat peluru yang terbenam di bahu kanannya. Andai Basil Mustapha, ayahnya lewat sehari menghantarnya di Musytasyfa Al-Syifa itu, Safiyya bakal kehilangan anugerah Allah itu. Otot tangannya  terurai. Tisu dagingnya mati dan saraf tangan Safiyya hancur lumat. Semuanya gara-gara bedilan  rejim zionis yang menggila di Gaza. Fateh tambah bengang apabila mengetahui Safiyya pernah cuba dihantar menjalani pembedahan di hospital Kaherah, Mesir melalui pintu sempadan Rafah beberapa hari selepas terkena tembakan. Namun gara-gara sekatan di sempadan, Safiyya gagal dibawa keluar dan tersadai tidak terbela di pintu sempadan Rafah sebelum Basil Mustapha membawa Safiyya kembali ke Gaza.
“Aku sedang membantu ummi di kedai runcit kami ketika tiba-tiba kami dihujani tembakan peluru si zionis. Ummi terkorban. Begitu juga adikku Soufiyyan,” Safiyya membetulkan jilbabnya yang hampir melorot ke belakang. Beberapa helai rambut yang terjurai di dahi segera disusup ke dalam jilbab hitamnya. Cekatan11 Fateh membuka balutan di tangan Safiyya. Bekas luka dicuci penuh berhati-hati. Lurah-lurah kecil terbentuk di dahi Safiyya. Dia menyeringai kesakitan.

Jabeliya, tempat tumpah darah Safiyya ialah kawasan terawal yang menjadi sasaran bedilan tentera Israel. Kawasan yang suatu masa dahulu meriah dengan rimbunan pokok zaitun, deretan rumah dan beberapa bangunan kilang kini menjadi padang jarak padang terkukur. Tiada yang tersisa melainkan serpihan-serpihan batu bata yang berselerakan di sana sini.


“Aku bersimpati terhadapmu, Safiyya. Begitu juga dengan mereka yang senasib denganmu,” Fateh meluahkan rasa simpati. Wajah Safiyya diseluruhi. Senyumannya yang kini membuat Fateh tidak lena tidur malam. Lirik matanya benar-benar buat Fateh tidak keruan. Fateh dapat merasakan denyutan jantungnya menyalahi tempo12 setiap kali berhadapan dengan gadis dari Desa Jabeliya itu.Kadang–kala lidahnya jadi kelu ibarat mulutnya penuh disumbat batu. Keteguhannya memelihara syariat Ilahi membuatkan Fateh tambah jatuh hati. Biarpun sakit dan berada dalam kesulitan suasana perang, jilbab masih lekat di kepala. Saat itu dia terkenang  Welma, kekasihnya. Welma tidak kalah jika hendak dibandingkan dengan Safiyya. Cuma bezanya, Welma lebih selesa membiarkan rambutnya yang ikal ditayang di khalayak.  Welma lebih senang mengenakan skirt pendek dan menampakkan kulit kaki yang halus dan gebu. Mungkin kesalahan tidak boleh seratus peratus diletakkan atas pundak13 Welma. Pemakaian jilbab sememang diharamkan di negaranya. Welma juga sepertinya, jauh dari biah14 Islamiah dek dasar-dasar negara yang tidak memihak kepada syariat samawi15.


“Aku juga bersimpati terhadapmu, Fateh,” Fateh sedikit tersentak. Wajah Welma hilang dari pandangan.
“Kamu bersimpati terhadapku?” Fateh kebingung-bingungan. 


panglima


“Hakikatnya Fateh, kita sama-sama diserang. Bezanya, kami di Palestin diserang secara fizikal sedang umat Islam di luar sana diasak secara halus,” Safiyya mengurut-urut lembut tangannya yang telah selesai berganti balutan. Fateh mengangguk-angguk kecil.


“Contoh paling mudah,  budaya hedonisme.. Umumnya, ideologi hedonistik ini memfokuskan kepada perkara yang boleh meningkatkan keseronokan dan mengurangkan perkara-perkara yang menjuruskan seseorang kepada kesedihan (increasing pleasure and reduce pain). Tanpa umat Islam sedari, mereka telah  disuntik  dengan doktrin16 ini. Al-hasil, lahirlah golongan umat yang tidak berpijak di bumi realiti. Mereka meletakkan simbol  keseronokan serta kemewahan sebagai satu prioriti dalam hidup. Hidup bersandarkan angan-angan. 

Maka benarlah sabda Baginda SAW junjungan kita, kebaikan generasi pertama umat ini kerana adanya cita-cita untuk syahid dan keimanan yang tidak berbelah bagi. Binasanya generasi akhir umat ini kerana adanya sifat bakhil dan banyak berangan-angan,” Safiyya menghela nafas. Fateh membisu. Hanya otaknya ligat mencerna bicara Safiyya.


“Cuba kau teliti semula sejarah empayar Islam.  Fateh, kau akan dapati bahawa jatuhnya empayar Islam sama ada kerajaan Abasiyyah ataupun Kerajaan Turki Uthmaniyyah tidak lain dan tidak bukan adalah kerana pemimpin dan rakyat ketika itu menganuti aliran ini. Hidup berpaksikan keseronokan dan kemewahan. Enak tenggelam dibuai hiburan melampau. Maka, suburlah penyakit dalam hati yang disebut Nabi sebagai wahan. Cintakan dunia dan takutkan mati. Percaya atau tidak, ideologi inilah yang mengunci bicara, memaku gerak tindak para pemimpin Islam hari ini. Menikus di hadapan Israel kerana bimbang untuki maju ke hadapan membantah.  Khuatir segala keselesaan yang dikecap akan lenyap,” suara Safiyya sedikit keras. Renungannya tersimpan amarah yang tidak terungkap.

Fateh terus selesa mengambil sikap mendengar. Fateh hampir lupa, Safiyya mahasiswa tahun akhir dalam bidang sosiologi dan sejarah di Universiti Islam Gaza. Sebelum sempat menamatkan pengajian, bangunan kuliah ranap tersungkur di dada bumi.


“Jihadmu bukan di sini, Fateh,” lemah kedengaran di hujung suara gadis dari desa Jebaliya itu. Otot dahi Fateh tegang. Mulutnya yang sedikit ternganga cepat-cepat digetap.


“Apa salahkah aku ingin menjadi Salahuddin Al-Ayubbi?” Fateh akhirnya menzahirkan rasa tidak puas hati yang bergulat dalam diri. Safiyya tersengih. Fateh rasa seolah-olah cita-citanya diperkecil-kecilkan. Seolah-olah dia tidak layak untuk menyimpan impian setinggi itu.


“Aku lebih suka engkau menjadi Al-Fateh. Sesuai dengan namamu Fateh,” ujar Safiyya dalam nada berseloroh.


“Sultan Muhammad Al-Fateh?” Fateh ingin kepastian.

“Aku hargai pengorbananmu datang menjejakkan kaki di bumi Palestin ini untuk membantu kami. Ya, sememangnya di sini kami memerlukan bantuan pakar perubatan sepertimu. Namun, antara sedar atau tidak, umat Islam di luar sana jauh lebih sakit dari kami yang sedang terlantar di hospital ini. Mereka lebih perlukan rawatan dan perhatian, Fateh” Safiyya kembali serius.


“Kota Konstantinopel hanya berjaya dibuka setelah 800 tahun dikhabarkan Rasulullah SAW. Sultan Muhammad berjaya membuktikan kebenaran sabda baginda dengan usaha yang tidak sedikit. Sejak kecil baginda telah disuguh17kan bahawa bagindalah yang akan membuka Konstantinopel. Malah kelahiran Salahuddin sendiri telah dirancang seawal zaman Imam Al-Ghazali. 

Inilah jihadmu, Fateh. Di bahumu tergalas satu tanggungjawab untuk merancang dan melahirkan generasi sehebat Al-Ayyubi dan secekal Al-Fateh. Hanya generasi berjiwa besar seperti mereka sahaja  yang dapat membumikan cita-cita seluruh umat Islam yakni melihat masa depan menjadi milik Islam,” berdiri bulu roma Fateh mendengar hujah Safiyya. Lafaz takbir perlahan-lahan mercup18 di tubir bibirnya.


“Aku akan pulang ke Turki dalam tempoh masa terdekat ini,” Fateh menelan air liur. Fateh nekad pagi itu dia akan berterus terang tentang isi hatinya.


“Safiyya, sudikah engkau mengikut aku?” kerongkongnya perit. Awalnya, Safiyya tidak menunjukkan sebarang reaksi. Lambat-lambat Safiyya mengangkat muka, memandang tepat wajah Fateh.
“Maafkan aku, Fateh, aku harus terus tinggal di sini. Di sini jihad aku bermula dan bertapak. Pulanglah engkau ke tanah airmu. Aku ada perjuangan aku dan engkau ada perjuangan engkau. Biarpun perjuangan berbeza tetapi matlamat kita sama. Setiap kita harus menjadi secekal Al-Fateh dan segagah Al-Ayyubi andai kita mahu menawan kembali Baitul Maqdis. Anggaplah Palestin hari ini ibarat Konstantinopel. Setiap umat Islam seharusnya bercita-cita untuk menjadi Al-Fateh dan paling tidak pun menjadi seperti tentera-tenteranya. Bukankah Sultan Muhammad Al-Fateh itu sebaik-baik raja yang memimpin sebaik-baik tentera?”  Safiyya tega dengan keputusannya. Fateh tahu dia tiada upaya mengubah fikiran Safiyya. Dari awal lagi dia boleh mengagak apa jawapan yang bakal diterima. Biarlah. Sekurang-kurangnya dia tidak terus berteka-teki dan menyimpul andaian sendiri.


“Aku hormati keputusanmu,” awan pilu berarak menyelubungi wajah Fateh. Fateh berlalu sambil membujuk19 kalbu. Fateh tidak menyangka itu pertemuan terakhir mereka. Safiyya menghilangkan diri sejak itu. Tiada siapa nampak kelibatnya lagi di musytasyfa. Fateh dirundung rasa bersalah. Namun, Fateh yakin Safiyya pergi bukan kerana jauh hati dengannya.


Salahudin

AbiAbi!” Fateh menoleh. Seorang kanak-kanak lelaki menerpa ke arah Fateh yang sedia mendepangkan tangan. Welma ayu dalam jilbab hijau pucuk pisang mengekori kanak-kanak itu di belakang. Jubahnya beralun-alun ditiup angin. Tubuh kecil itu dirangkul Fateh. Bertubi-tubi ciuman Fateh singgah di pipinya.


“Siapa yang akan menawan Baitul Maqdis?” Fateh separuh menjerit. Soalan itu seringkali singgah di cuping telinga anaknya.


“Saya, abi!” sambut anak kecil seperti biasa. Tangannya dijulang tinggi-tinggi. Satu ciuman singgah dipipi munggilnya.

“Kamu pasti, anakku?” Welma mengangkat kening sambil merapatkan wajahnya ke wajah anaknya sehingga dahinya mencecah dahi anaknya.


“Saya pasti ummi kerana saya Salahuddin Al-Ayubbi zaman ini!” Salahuddin petah membalas walaupun sedikit pelat. Gelak tawa mereka beranak-pinak.


"Terima kasih, Safiyya. Moga perjuanganmu dan perjuanganku tidak sia-sia," bisik hati Fateh. Tangan Welma dirangkul. Salahuddin mengeliat kecil dalam dukungan Fateh. Beriringan mereka berjalan meninggalkan Selat Bosphorus bersama adunan semangat Al-Fateh dan Al-Ayubbi.



Glosari:
  1. Bosphorus - Selat Istanbul; sebuah selat yang memisahkan Turki pada bahagian eropah dan bahagian Asia; menghubungkan Laut Marmara dan Laut Hitam
  2. Konstantinopel - nama lama bagi Instanbul
  3. bersipongang - bergaung, bergema
  4. jihat - arah, pihak, sisi
  5. Atma - jiwa, nyawa
  6. musytasyfa - hospital
  7. pandak - pendek
  8. ghazwah - perang
  9. At-Tayyar - yang terbang
  10. Khali - bapa saudaraku; panggilan kepada bapa saudara sebelah ibu
  11. cekatan - cekap, cepat membuat kerja
  12. tempo - irama, rentak
  13. pundak - bahu
  14. biah - persekitaran
  15. syariat samawi - agama langit
  16. doktrin - prinsip atau kepercayaan yg dianggap benar dan satu-satunya yg dapat diterima
  17. disuguhkan - ditonjolkan, disediakan, dipaparkan
  18. mercup - timbul atau lahir dengan tiba-tiba
  19. membujuk - memujuk

Greeners. :)