Aci x blog ni di'delete'? Maksimum answer no : 20 orang baru x delete.

Saturday, November 6, 2010

Bab 2-Itu Lebih Baik Bagi Kamu,Andai Kamu Mengetahui

Fawwaz melemparkan pandangannya ke Laut Merah yang terbentang luas di hadapannya.Jasadnya masih kaku disitu,namun mindanya sudah bermusafir jauh.Kenangan demi kenangan bersama arwah Uwais cuba diingatinya satu persatu.

Dia tertawa kecil tatkala mengingatkan saat pertama kali dia bertemu dengan pemuda bernama Uwais Al-Qorni itu,di tepi koridor kelas-kelas yang menempatkan pelajar-pelajar tingkatan satu,yang terletak di tingkat dua,blok tertinggi di SHAMS.Fawwaz merupakan antara pelajar paling nakal dalam kalangan pelajar-pelajar  tingkatan satu pada tahun tersebut.Uwais pula digelar ‘pak lebai’ kerana tingkah lakunya yang jauh lebih baik dan terjaga berbanding pelajar-pelajar yang lain.Perbezaan antara mereka bagai langit dengan bumi.Perkara yang disukai oleh Fawwaz pasti dibenci oleh Uwais,dan perkara yang dibenci oleh Fawwaz sudah semestinya menjadi kegemaran Uwais.Satu-satunya persamaan mereka adalah wajah mereka yang hampir serupa.Itulah satu-satunya.

Fawwaz juga seorang yang panas baran. Dia sangat pantang dicabar.Egonya terlampau tinggi sehinggakan Uwais sendiri hampir-hampir menjadi mangsa panahan amarahnya  gara-gara  pemuda itu menegurnya kerana  membuang sampah di merata-rata tempat sedangkan banyak tong sampah yang terletak berhampiran dengannya.Untung saja Amir Arif, Ariff Luqman dan Faisal ada berhampiran ketika itu.

 “Waz,sudah!Aku cakap,sudah!Fawwaz!Rafiuddin Fawwaz Tan Sri Azhar!”arahan tegas daripada Ariff Luqman kedengaran menggerunkan bagi Fawwaz.Akhirnya,dia tunduk pada arahan sahabat baik yang juga merupakan sepupunya itu.Walaupun Fawwaz seorang yang keras kepala,namun dia tetap menghormati Ariff Luqman.Baginya,hanya Ariff Luqman satu-satunya orang yang memahaminya dirinya.Hanya Ariff Luqman satu-satunya orang yang boleh dia letakkan kepercayaan padanya. Namun,tanggapan Fawwaz terhadap Ariff Luqman sedikit meleset pada hari itu.Sangkanya dia akan mendapat pembelaan daripada sepupunya itu, namun ternyata Ariff Luqman seolah-olah menyebelahi pemuda yang sudah pun menjadi musuhnya bermula pada hari itu,Uwais Al-Qorni.

Perbalahan antara Uwais dan Fawwaz berjaya dileraikan,namun Fawwaz hanya berlalu pergi tanpa mempedulikan sedikit pun nasihat Uwais sebentar tadi.Sudahnya,sampah itu semakin melayang jauh disepaknya.

 “Dia tak kenal aku lagi.Dia ingat dia tu siapa nak nasihatkan aku!Tahulah aku hidup!Dasar busybody , suka menyibuk hal orang lain!Takkan tak sedar,kubur lain-lain.Kalau tanah yang tinggal untuk kubur aku atas muka bumi ni terletak dekat tepi kubur kau sekalipun,belum tentu aku akan pertimbangkan  untuk bersemadi di situ! Hish! Apasal semua orang di dunia ni suka sangat kongkong hidup aku?Apa yang mereka semua dapat sebenarnya?Ariff pun dah jadi pun tu sekarang!Mesti budak lebai tu dah guna jampi bomoh supaya semua pelajar sekolah ni benci aku!Nama saja lebai,entah ilmu apa yang digunanya pun aku tak tahulah! ”Fawwaz menggerutu sendirian.Kasar fitnah yang dilemparkannya pada Uwais.

Ketawa Fawwaz masih bersisa.“Haha.Fuh,boleh tahan juga nakal aku masa tu.Nasib baik Arif ada masa tu.Kalau tak,mesti aku dah kerjakan Uwais cukup-cukup.Hmm,Uwais memang baik.Tak hairanlah Allah sayang dia.Kalaulah aku boleh putar semula waktu,mesti...”Fawwaz dikejutkan oleh kehadiran Fathullah dan Zulfadhli yang muncul secara tiba-tiba dari belakang. “Mesti apa?”Fathullah memulakan bicaranya dengan persoalan. “Mesti...Keadaan takkan jadi macam sekarang,”Fawwaz tertunduk ,dan kemudiannya memalingkan mukanya ke arah barat Laut Merah.

 “Kau salahkan takdir?”giliran Zulfadhli pula menyoalnya. “Entahlah.Aku sendiri pun keliru,but still, I regretted what had happened ,kadang-kadang,aku rasa macam akulah orang yang sebabkan kematian Uwais.Kalaulah aku tak lari dari rumah masa tu,mesti Uwais masih hidup sekarang.Mesti kami semua dah jadi keluarga bahagia.Aku langsung tak tahu apa yang dorong aku untuk lari dari rumah masa tu.Tapi aku yakin,tindakan aku yang melulu tu bukanlah sebab aku tak boleh terima kenyataan bahawa Uwais adalah abang kembar aku.”Fawwaz membalas perlahan.Dahinya berkerut-kerut, jiwanya menderita menahan penyesalan yang tak berkesudahan sejak kematian Uwais hampir sepuluh tahun yang lalu.Sangkanya,dialah orang yang bertanggungjawab atas pemergian Uwais. Hakikat yang sebenarnya,hanya Allah yang Maha Mengetahui.

“Hmm,kau memang salahkan takdir.Sudahlah Waz.Kau ingat tak ayat yang selalu Uwais ulang, ‘Setiap kejadian yang diciptakan oleh Allah itu tidak sia-sia’,aku yakin,pemergian Uwais pasti ada hikmah di sebaliknya.Allah lebih tahu,Waz.Mungkin Dia dah siapkan sesuatu yang lebih baik buat kita.”Fawwaz membalas jawapan Fathullah dengan senyuman hambar.Tafsir pemberian Uwais di tangannya diambil Zulfadhli. “Pinjam,”Ringkas dan padat tujuannya mengambil tafsir itu disuarakan. “Kau nak buat apa tu Zul?Pegang elok-elok.Kalau jadi apa-apa pada tafsir tu,dah tak ada tempat untuk kau cari yang sama macam tu.”Fawwaz berhati-hati. “Uwais yang bagi,ya?”Fathullah menghulur soalan yang sudah diketahui  jawapannya.Sengaja dia ingin menduga Fawwaz.Fawwaz hanya membalas dengan sekali angguk,mengiyakan kenyataan tersebut.

“Tahulah aku,”jawab Zulfadhli sambil membelek tafsir biru muda itu. “Nah,kau ambil tafsir ni.Kau tengok,kau renung dalam-dalam sebahagian  maksud ayat 216 Surah Al-Baqarah tu yang kau rasa bertepatan dengan situasi kau sekarang.Lepas tu,kau bacakan untuk kami pula.Baca kuat-kuat,biar kami  betul-betul jelas dengan maksudnya.Takut juga kalau-kalau aku tersalah pilih ayat,”Zulfadli cuba untuk menceriakan keadaan.Dia sememangnya suka berseloroh.

Tafsir itu bertukar tangan. ‘Dalamnya maksud ayat ni.Aku memang dah salahkan takdir,’ Fawwaz mengakui kesalahan dirinya.Dalam diam,dia sangat mengagumi Zulfadhli.Fawwaz tidak menafikan bahawa walaupun Zulfadhli bersikap agak gila-gila,namun bicaranya juga mengandungi butir-butir hikmah.Sekurang-kurangnya, apabila sahabatnya itu ingin menegaskan sesuatu perkara,dia mempunyai hujah.Fathullah juga tidak kurang hebatnya.Kisah persahabatan mereka dan Uwais yang singkat sememangnya sudah banyak mengubah mereka, terutamanya pada diri Fawwaz.Dirinya yang pada mulanya sangat sinonim dengan sifat-sifat mazmumah,kini hampir bertukar 360 darjah. Lamunan Fawwaz terhenti apabila mereka bertiga disergah oleh Fadlan dan Farid .Mereka mempunyai kuliah Usuluddin dengan Profesor Umar Muslih pada pagi itu.Oleh sebab itu,mereka tidak berkesempatan untuk datang berjumpa Fawwaz,Fathullah dan Zulfadhli lebih awal.

“Kau memang tak nak kongsi maksud ayat tu dengan kami ke?”kata-kata Fadlan disertai oleh tawa kuat daripada Farid.Entah mengapa,dia terlebih girang pada pagi itu. “Dah lama ke kau  dengan Farid ada sini?”soal Fawwaz kehairanan. “Adalah lebih kurang setengah jam yang lalu,”Farid menjawab selamba sambil membuat muka tidak bersalah.Fawwaz menggigit bibir,geram dengan kedua-dua sahabatnya yang ‘baru’ menampakkan diri itu.Ternyata perbualannya sebentar tadi bersama Zulfadhli dan Fathullah mempunyai pemerhati.Namun,pada masa yang sama,dia sangat bersyukur kerana mempunyai sahabat-sahabat yang sedia menjadi tempatnya mengadu.Sekurang-kurangnya, rindunya pada saudara kembarnya,Uwais, sedikit terubat dengan kehadiran mereka.

“Okey,okey.Aku kongsi.Kau ingat aku ni kedekut sangat ke?”kata Fawwaz sambil bersiap-sedia untuk membaca mafhum ayat yang diberikan oleh Zulfadhli padanya. “Memang pun!”Fadlan,Farid,Zulfadli dan Fathullah menyambut soalan cepumas Fawwaz dengan memberikan jawapan yang sama, dan serentak. Fawwaz tergamam.Setelah menjegilkan matanya selama beberapa saat pada keempat-empat sahabatnya itu, Fawwaz mula membacakan maksud ayat tersebut.


“Diwajibkan ke atas kamu berperang,padahal itu tidak menyenangkan bagi kamu.Tetapi boleh jadi kamu tidak menyenangi sesuatu,padahal itu baik bagimu,dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu,padahal itu tidak baik bagimu.Allah mengetahui,sedang kamu tidak mengetahui.”
                                                                                                                   Al-Baqarah:216

Fawwaz menutup tafsir kesayangannya itu lalu menatap wajah keempat-empat pemuda di hadapannya yang sedang ralit mengucapkan tasbih.Hatinya yang sudah sedia sesak,kini ditambah dengan rasa sebak.‘Ya Allah, benar,setiap perkara yang Engkau jadikan itu pasti ada hikmah di sebaliknya.Aku memang kehilangan seorang sahabat akrab,seorang teman sejati,dan seorang abang yang penyayang,tetapi tak bermakna aku kehilangan semuanya.Aku masih ada mereka,aku masih ada keluargaku,aku masih ada orang yang menyayangiku,dan yang paling penting,aku masih ada Engkau,’monolog Fawwaz sendirian.Air matanya menitis,menangisi kekhilafan diri.Segera dia berpaling,bimbang sahabat-sahabatnya itu menyedari kehadiran gerimis di wajah sugulnya.


*bersambung*

No comments:

Greeners. :)